Friday, December 17, 2010

Sesi Fotografi di Litebox Photo Studio, Bangi Selangor Darul Ehsan.

Sesi Fotografi di Litebox Photo Studio, Bangi Selangor Darul Ehsan

RAYYAN DUTA KESENIAN KE ACEH

B
anda Aceh, Tanggal 12 – 17 Mac 2010, Kumpulan Nasyid Rayyan telah membuat Kunjungan Muhibbah ke Banda Aceh, Indonesia atas undangan Dewan Pimpinan Wilayah Lembaga Seni Qasidah Indonesia (LASQI) provinsi Aceh.  Kunjungan muhibbah ini membolehkan Kumpulan Rayyan membuat penampilan dalam Festival Bintang Vokalis Qasidah Gambus Tingkat Provinsi Aceh 2010, yang diadakan setiap dua tahun ini bagi memilih wakil Aceh ke tingkat nasional.  Dalam festival kali ini beberapa kategori telah dipertandingkan iaitu, kategori kanak-kanak lelaki dan perempuan, remaja lelaki dan perempuan dan dewasa lelaki dan perempuan.
 
Festival Bintang Vokalis Qasidah Gambus Tingkat Provinsi Aceh kali ini telah mendapat sambutan yang sungguh menggalakkan daripada seluruh masyarakat Aceh dengan penglibatan seramai 83 orang peserta dari 23 kabupaten/kota di Aceh penuh dengan warna warni.  Festival kali ini telah dibuka secara rasminya oleh Bapak Wakil Gubernur Aceh pada tanggal 14 Mac 2010, jam 9.00 pagi, bertempat di Anjong Mon Mata, Banda Aceh, Indonesia.
 
Kumpulan Rayyan sebagai artis undangan dalam festival kali ini telah membuat dua penampilan, pertama dengan menyampaikan 2 buah lagu iaitu Perjalanan, ciptaan Haji Mahzan Manan dan liriknya oleh Abby dan lagu kedua Khazanah, Ciptaan Haji Mahzan Manan, manakala liriknya hasil karya SN Datuk A. Samad Said.   Penampilan kedua iaitu dalam acara penutupan rasmi festival Rayyan menyampaikan 2 buah lagu iaitu Kembara di Tanah Gersang yang pernah dipopularkan oleh kumpulan Al-Jawaher dan digubah semula oleh Haji Mahzan Manan.  Manakala lagu kedua Ummah Khalifah, ciptaan Haji Mahzan Manan, liriknya oleh Haji Jalidar Abdul Rahim.  Kedua-dua persembahan ini Rayyan telah Berjaya memukau penonton yang hadir dengan persembahan yang bertenaga dan penuh penghayatan.  Penampilan Rayyan ini telah mendapat pujian daripada Bapak Wakil Gubernur Aceh iaitu Bapak Muhammad Nazar serta Ibu Dewi Meuthia ST, Ketua Umum Lembaga Seni Qasidah Indonesia (LASQI) Provinsi Aceh serta karyawan seni Aceh yang hadir.
 
Dalam kunjungan ini, Rayyan telah berjaya memperkenalkan genre nasyid Malaysia kepada masyarakat Aceh yang mempunyai kelainan tersendiri berbanding seni nasyid dan qasidah di Aceh.  Kelainan ini jelas dari segi melodi, gubahan muzik dan cara penampilan.  Kelainan genre nasyid yang dipertontonkan oleh Rayyan ini, dapat kita membuktikan kepada peminat seni muzik tanah airi bahawa genre nasyid Malaysia dapat diterima oleh masyarakat luar khususnya di peringkat antarabangsa.  Selain itu, hal ini juga dapat menjadikan nasyid sebagai antara medium dakwah yang berkesan dan medium untuk mengambangkan bahasa dan kesusasteraan Melayu yang boleh diterima oleh masyarakat luar.  Kunjungan Rayyan ke Aceh telah merapatkan hubungan antara Malaysia dengan Provinsi Aceh menerusi program kesenian berunsur Islam.
 
Dalam ruang masa yang ada kami dapat menjejaki, memahami, mempelajari serta menghayati seni qasidah serta kebudayaan masyarakat Aceh yang serumpun dengan bangsa Melayu di Malaysia.  Dengan ini kami dapat mengenali jati diri budaya masing-masing, di samping memahami dan menghormati budaya-budaya lain.  Dan mampu berinteraksi secara sinergi antara satu dengan yang lain dalam usaha mengukuhkan hubungan persaudaraan dua negara khususnya dalam bidang kesenian dan kebudayaan menerusi bahasa dan kesusasteraan Melayu.  Di samping itu, kami dapat melihat kesan-kesan gelombang tsunami yang melanda Banda Aceh pada 26 Disember 2004.  Kesan ini masih kekal hingga ke hari ini.